RAIKAN AIDIL ADHA LEBIH MERIAH APABILA MENGGUNAKAN LEBUH RAYA E8 LPT2 - Jadual Waktu Perjalanan pertama antara Lebuhraya Pantai Timur LPT & LPT2 diperkenalkan bagi meraikan Aidil Adha

Perjalanan ke Pantai Timur bagi meraikan Hari Raya Aidil Adha tambah bermakna apabila ANIH Bhd, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) dan LPT2 Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) memperkenalkan Jadual Waktu Perjalanan bersama melibatkan keseluruhan laluan lebuh raya Pantai Timur (E8).

Bermula hari ini sehingga 30 Julai, pelanggan E8 daripada Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Pahang, Terengganu dan Kelantan mempunyai dua waktu pilihan untuk memasuki lebuh raya. Bagi perjalanan ke Pahang, orang ramai dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya mulai jam 10 pagi hingga 1 petang atau 8 malam hingga 11 malam. Bagi perjalanan ke Terengganu dan Kelantan pula, pelanggan disaran memasuki lebuh raya di antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

Sementara itu, bagi perjalanan pulang semula E8 ke Kuala Lumpur/Selangor pada 1 Ogos hingga 2 Ogos, pelanggan lebuh raya dari Pahang dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya mulai jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam. Manakala bagi pelanggan daripada Terengganu (masuk menerusi Plaza Tol Kuala Terengganu atau Jabor) memasuki lebuh raya mulai jam 10 pagi hingga 1 petang atau 8 malam hingga 10 malam.  Bagi pelanggan dari Kelantan (masuk menerusi Plaza Tol Kuala Terengganu atau Bentong) pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya mulai jam 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

Pengarah Eksekutif LPT2 Sdn Bhd, Datuk Azman Ismail, berkata, “Kami amat teruja kerana buat pertama kalinya LPT 2 Sdn Bhd dan ANIH Berhad dapat berkolaborasi bagi memberikan nilai tambah kepada pelanggan terhadap aspek perkhidmatan keselamatan dan keselesaan lebuh raya yang menjadikan E8 sebagai lebuh raya pilihan. Gabungan kerjasama ini menjadikan rondaan di lebuh raya oleh pasukan ronda LPT2 dan LPT lebih efektif, selain kemudahan R&R dan hentian sebelah yang menawarkan kemudahan gerai makanan dan minuman serta kemudahan awam seperti tandas awam dan surau yang lebih bersih dan selesa”.

“Berikutan negara masih lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan perjalanan merentas negeri, pihak LPT 2 menjangka akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan sebanyak 70 peratus atau sebanyak 35,000 kenderaan yang akan menggunakan lebuh raya LPT2, berbanding 13,000 kenderaan pada hari-hari biasa,” tambah Datuk Azman.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, “Jangkaan lonjakan trafik daripada purata trafik harian sekitar 156,000 itu berlaku berikutan orang ramai akan mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman susulan perjalanan merentas negeri dibenarkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Jumaat ini’. 

Pengendali lebuh raya bagi jajaran Lebuhraya KLK dan LPT 1, ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik yang menggunakan dua lebuh raya kendalianya itu akan meningkat lebih 50 peratus mulai Rabu (29 Julai) hingga Ahad (2 Ogos) akan datang.

“Oleh itu, bagi memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi oleh pelanggan di semua kemudahan awam yang di sediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan di hentian sebelah di jajaran Lebuhraya KLK dan LPT 1, syarikat telah menerapkan Prosidur Operasi Standard (SOP) tertentu selaras dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelas Dato’ Nik.

Gabungan bagi Memantapkan Operasi Lebuhraya E8

Dalam masa yang sama, pada setiap kali musim perayaan, pihak pengendali lebuh raya laluan ke Pantai Timur ini juga merangka pelbagai pendekatan bagi memantapkan operasi lebuh raya bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.

Bagi jajaran Lebuhraya KLK dan LPT 1, ANIH Berhad menempatkan hampir 400 kakitangan tol bagi membantu melancarkan lagi aliran trafik di plaza tol terlibat. Selain itu, sekitar 160 kakitangan bahagian trafik yang merangkumi Pusat Kawalan Trafik (TCC), LPT-Ronda dan Trak Tunda pula akan bertugas 24 jam untuk memantau, membuat rondaan dan memberi khidmat kecemasan kepada pelanggan lebuh raya. Lebuh raya ini turut mendapat khidmat sokongan hampir 200 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang akan bertugas membantu melancarkan kawalan trafik di semua plaza tol, kemudahan R&R dan hentian sebelah.

Sementara itu, LPT2 turut menempatkan kira-kira 330 kakitangan di dalam ekosistem lebuh rayanya untuk membantu semua pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang lancar di lebuh raya. Ini termasuklah menugaskan 93 kakitangan di plaza tol, 50 anggota LPT2Ronda untuk menjalankan rondaan 24-jam di lebuh raya, 110 kakitangan penyelenggaraan, 7 kakitangan di Pusat Kawalan Trafik serta 68 anggota sokongan RELA bagi membantu penyuraian trafik di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah dan plaza tol pada musim perayaan ini.

LPT2 turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di lebuh raya bermula 29 Julai hingga 3 Ogos akan datang.

Selain itu, bagi membendung penularan Covid-19, operasi lorong tambah nilai di plaza tol LPT2 telah ditutup bagi mengurangkan intervensi langsung antara kakitangan dan pelanggan melalui transaksi tunai. Oleh itu, pelanggan lebuh raya LPT2 dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi dan dapat menambah nilai di stesen minyak, Kiosk layan diri (SSK) yang disediakan di R&R, kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara sebelum memasuki lebuh raya. Sila rujuk lokasi SSK dan pusat tambah nilai terdekat dengan melayari www.touchngo.com.my.

Perkhidmatan Pra-pesanan Makanan di R&R terpilih
Pelanggan lebuh raya LPT2 juga disaran untuk menggunakan perkhidmatan Pra-Pesanan makanan yang terdapat di 4 R&R terpilih di lebuh raya LPT2 bagi menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan mudah kepada pelanggan yang berhenti rehat di R&R.

Fungsi perkhidmatan Pra-Pesanan makanan boleh didapati melalui portal https://orderdisini.plus.com.my atau menerusi Aplikasi PLUS Mobile. Perkhidmatan ini terdapat di R&R LPT2 iaitu di R&R Ajil (Arah Utara), Paka (Arah Utara) dan Perasing (Arah Selatan).

“Orang ramai boleh membuat Pra-Pesanan makanan lebih awal semasa dalam perjalanan atau sebelum tiba ke destinasi R&R yang dituju dengan lebih mudah menggunakan telefon bimbit atau komputer riba. Mereka dapat menjimatkan masa menunggu, tidak perlu beratur di gerai dan pengambilan bungkusan makanan yang dipesan juga lebih cepat dan mudah apabila tiba di lokasi R&R terbabit,” tambah Datuk Azman. 

Maklumat Trafik di lebuh raya
Untuk sebarang maklumat trafik di jajaran Lebuhraya KLK dan LPT 1, pelanggan boleh menghubungi talian LPT-Line di 1700-818-700 atau ikuti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta isu-isu lain di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut.

Sementara itu, pelanggan lebuh raya LPT2 pula boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi Twitter @LPT2Trafik, papantanda elektronik lebuh raya atau menghubungi talian LPT2Line di 1800 88 0220 atau menerusi stesen radio tempatan. Pelanggan lebuh raya juga disarankan supaya menggunakan aplikasi perjalanan Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan sebelum memulakan perjalanan.